Search This Blog

Saturday, November 26, 2011

Taktik Anwar selamatkan diri.Bijak-Bijak.

Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim menuduh sistem kehakiman negara tidak bebas dalam siri ceramahnya di Indonesia baru-baru ini, disifatkan sebagai 'serangan awal' bagi menangkis apa jua keputusan mahkamah yang melibatkan perbicaraan kes liwatnya.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, tujuan Anwar itu adalah supaya masyarakat di dalam dan luar negara melihat beliau kononnya berada di pihak yang benar.
Malah, katanya, taktik menyelamatkan diri itu turut digunakan oleh parti pembangkang untuk menghadapi pilihan raya.
"Anwar memang bermasalah di mahkamah, jadi dia serang awal-awal. Kalau keputusan tidak memihak kepadanya nanti, maka dia pun beritahu apa yang dikatakannya itu adalah benar.
"Dalam pilihan raya pula, pembangkang tuduh proses pilihan raya berat sebelah, jadi apabila kalah, mereka akan kata bukan tidak mendapat sokongan rakyat tetapi pilihan raya yang tidak telus," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas ucapan Anwar yang memburuk-burukkan Malaysia dengan menuduh sistem kehakiman negara tidak bebas kerana dikongkong pihak kerajaan.
Anwar turut mendakwa, hakim-hakim yang menjalankan tugas tidak mempunyai kewibawaan kerana mereka terikat dengan ketentuan yang telah dibuat oleh kerajaan apatah lagi sekiranya ia melibatkan orang berpangkat besar.
Menurut Zahrain, Anwar boleh dilabelkan sebagai penderhaka negara kerana tidak beretika dalam permainan berpolitik dengan membawa cerita-cerita pembohongan.
Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari pula berkata, Anwar memang sengaja memilih Indonesia kerana Ketua Pembangkang itu tahu sentimen kebencian di kalangan rakyat negara itu terhadap Malaysia memang sudah wujud.
"Dia pergi ke sana untuk menambah rasa kebencian itu demi kelangsungan politiknya yang telah luntur di peringkat antarabangsa," ujarnya.
Sementara itu, salah seorang pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong pula berkata, Anwar menunjukkan sikap 'cakap tak serupa bikin' kerana beliau sendiri telah memfailkan berpuluh-puluh kes menuntut ganti rugi di mahkamah yang dikatakan tidak bebas.
"Jika tidak puas hati, kenapa perlu failkan hingga berpuluh-puluh kes di mahkamah. Maksudnya dia masih percaya dengan sistem kehakiman
"Malah sebagai Ahli Parlimen, dia boleh gunakan Dewan Rakyat untuk membicarakan perkara ini, kenapa perlu pergi ke Indonesia?," ujarnya.
Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan pula berkata, Anwar perlu diberi amaran serta diambil tindakan tegas oleh mahkamah yang membicarakan kes beliau atas kritikannya itu.
Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim memburukkan nama dan imej negara adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan memberi impak negatif kepada negara.
Dalam perkembangan sama, Naib Presiden Majlis Belia Malaysia, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, kenyataan memburukkan negara yang dilemparkan itu tidak selaras dengan falsafah dan tafsiran Perlembagaan Malaysia.
"Saya khuatir tindakan Anwar itu akan menjejaskan imej dan hubungan diplomatik negara yang telah dibina sejak merdeka," katanya.

Tuesday, November 1, 2011

Penindasan Terhadap Dunia Islam semakin Melampaui Batas.

Amerika Syarikat (AS) semalam mengumumkan untuk menghentikan dana kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) selepas badan dunia itu memperakui Palestin sebagai anggota penuh kumpulan tersebut.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Victoria Nuland berkata, ini kerana keputusan itu melangkaui proses perjanjian damai Palestin dan Israel yang masih dalam proses perbincangan.
Katanya, keputusan UNESCO memperakui Palestin sebagai anggotanya juga adalah keputusan yang tidak matang, silap dan menjejaskan matlamat AS dalam proses perjanjian damai itu.
''Ekoran itu, AS akan menahan dana sebanyak AS$60 juta (RM186 juta) yang sepatutnya disalurkan bulan ini.
''Namun, walaupun begitu, AS akan tetap mengekalkan keahlian dalam UNESCO,'' katanya.
Semalam, UNESCO memperakui Palestin sebagai anggota penuhnya dengan 107 negara menyokong, 14 menolak termasuk AS, Jerman, Israel dan Kanada manakala 49 negara lagi berkecuali.
Ia sekali gus dilihat sebagai jalan mudah Palestin untuk 'mengejar' impian mendapatkan keahlian penuh dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Bagaimanapun, usaha itu ditentang keras Israel dengan AS menyatakan akan menggunakan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan untuk menghalang Palestin memperoleh pengiktirafan tersebut.
Sebanyak 22 peratus dana kepada UNESCO disumbangkan oleh AS. UNESCO merupakan badan dunia pertama yang mengiktiraf Palestin sebagai anggotanya sejak Presiden Mahmoud Abbas membuat permohonan itu kepada PBB pada 23 September lalu.
Dalam pada itu, Menteri Luar Kanada, John Baird berkata, Kanada melahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan UNESCO dan akan mempertimbangkan keanggotaannya dalam badan dunia itu.

Isu konsert Elton John: DAP, Pas ibarat AS-Rusia

Kerjasama di antara DAP dengan Pas dalam pakatan pembangkang boleh disamakan dengan permuafakatan di antara Amerika Syarikat (AS) dengan Rusia sewaktu Perang Dunia Kedua bagi menentang Kuasa Paksi Jerman, Itali dan Jepun.
Pensyarah Program Hubungan Antarabangsa Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Mohd. Noor Yazid berkata, analogi itu dibuat berdasarkan perbezaan nilai DAP dengan Pas yang tidak akan bersesuaian atau mengambil masa lama untuk serasi.
Katanya, DAP yang memperjuangkan nilai sosialisme demokrasi akan sentiasa menghadapi pertembungan dengan nilai Islam yang menjadi dasar Pas sejak penubuhan parti berkenaan.
"Mereka macam Rusia dan AS yang bergabung bagi menghadapi Kuasa Paksi walaupun AS mendokong demokrasi dan Rusia memperjuangkan komunisme.
"DAP dan Pas hendak menentang Barisan Nasional (BN), tetapi apabila berbeza ideologi, berlakulah Perang Dingin dan dunia tidak aman sepenuhnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Dewan Pemuda Pas Pahang membantah kehadiran penyanyi gay antarabangsa, Elton John yang dijadual membuat persembahan di Genting Highlands pada 22 November ini.
Selepas kenyataan itu, Naib Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw seperti dipetik laporan portal The Mole Khamis lalu meminta Pas lebih fleksibel dan tidak memaksa nilai-nilainya ke atas pihak lain.
Mohd. Noor Yazid menambah, perbezaaan pendapat serta nilai di antara Pas dengan DAP akan terus berlaku memandangkan kedua-duanya mempunyai kekuatan setara dan tiada pihak yang jauh lebih dominan dalam penguasaan kerusi Parlimen di seluruh negara.
Dalam perkembangan sama, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nashrudin Hassan enggan mengulas mengenai pendirian sebenar parti itu terhadap kehadiran Elton John, mahupun mengenai 'teguran' DAP berkenaan.
"Saya minta anda tanya dahulu kepada para pemimpin Pas Pusat," katanya.
Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali turut enggan mengulas mengenai isu tersebut.