Search This Blog

Tuesday, November 1, 2011

Isu konsert Elton John: DAP, Pas ibarat AS-Rusia

Kerjasama di antara DAP dengan Pas dalam pakatan pembangkang boleh disamakan dengan permuafakatan di antara Amerika Syarikat (AS) dengan Rusia sewaktu Perang Dunia Kedua bagi menentang Kuasa Paksi Jerman, Itali dan Jepun.
Pensyarah Program Hubungan Antarabangsa Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Mohd. Noor Yazid berkata, analogi itu dibuat berdasarkan perbezaan nilai DAP dengan Pas yang tidak akan bersesuaian atau mengambil masa lama untuk serasi.
Katanya, DAP yang memperjuangkan nilai sosialisme demokrasi akan sentiasa menghadapi pertembungan dengan nilai Islam yang menjadi dasar Pas sejak penubuhan parti berkenaan.
"Mereka macam Rusia dan AS yang bergabung bagi menghadapi Kuasa Paksi walaupun AS mendokong demokrasi dan Rusia memperjuangkan komunisme.
"DAP dan Pas hendak menentang Barisan Nasional (BN), tetapi apabila berbeza ideologi, berlakulah Perang Dingin dan dunia tidak aman sepenuhnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Dewan Pemuda Pas Pahang membantah kehadiran penyanyi gay antarabangsa, Elton John yang dijadual membuat persembahan di Genting Highlands pada 22 November ini.
Selepas kenyataan itu, Naib Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw seperti dipetik laporan portal The Mole Khamis lalu meminta Pas lebih fleksibel dan tidak memaksa nilai-nilainya ke atas pihak lain.
Mohd. Noor Yazid menambah, perbezaaan pendapat serta nilai di antara Pas dengan DAP akan terus berlaku memandangkan kedua-duanya mempunyai kekuatan setara dan tiada pihak yang jauh lebih dominan dalam penguasaan kerusi Parlimen di seluruh negara.
Dalam perkembangan sama, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nashrudin Hassan enggan mengulas mengenai pendirian sebenar parti itu terhadap kehadiran Elton John, mahupun mengenai 'teguran' DAP berkenaan.
"Saya minta anda tanya dahulu kepada para pemimpin Pas Pusat," katanya.
Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali turut enggan mengulas mengenai isu tersebut.

No comments:

Post a Comment